TERIMA KASIH KERANA MENGUNJUNGI BLOG MY NURFAQIH..........SEMOGA INFO YANG KAMI PAPAR DAPAT DIMANFAATKAN...........SEBARANG KOMEN ATAU PERTANYAAN SILA EMAILKAN KE : MYNURFAQEH@GMAIL.COM........
Featured Articles

News

.

Wednesday, March 9, 2011

Nampak hebat… tapi sebenarnya tak kuat

Kekuatan dan kehebatan seseorang sebenarnya bergantung kepada kekuatan peribadinya. Dalam Islam, seseorang itu dikira hebat atau kuat apabila tinggi akhlaknya. Sebaliknya apabila rendah akhlaknya maka seseorang itu tidak dipandang tinggi. Nilaian ini sebenarnya diakui oleh semua masyarakat manusia zaman berzaman sebelum dan selepas kedatangan Islam. Cuma apabila kehidupan manusia lebih tertumpu kepada kebendaan (material) nilaian ini berubah sedikit demi sedikit sehingga yang lemah pada hakikatnya tetapi dipandang hebat apabila dia berjaya  mempromosi dirinya sehingga dilihat hebat. Sebaliknya yang kuat tidak dipandang hebat apabila gagal mempamerkan kehebatannya.
Orang yang cermat dalam menilai tidak sekadar melihat apa yang dipersembahkan tetapi juga melihat hakikat apa yang dipersembahkan berpandukan asas penilaian yang tepat. Dalam hal ini sebenarnya al-Quran dan al-Sunnah diturunkan adalah untuk mengajar manusia tentang asas-asas penilaian tersebut.
Sifat Amanah, Jujur, Benar, Adil, Setia Pada Janji, Iffah, Berani, Kuat Kehendak, Rajin, Sabar, Bersedia Untuk Berkorban, Tekun, Teliti, Tenang, Lemah Lembut dll adalah merupakan asas-asas akhlak yang penting kepada peribadi seseorang. Kekuatan dan kehebatan peribadi seseorang sebenarnya berdasarkan sejauh mana kuatnya sifat-sifat tadi dalam dirinya. Begitu juga setiap sifat tadi dan kekuatannya akan melahirkan perilaku dan peribadi seseorang. Jika kuat maka kuatlah peribadinya dan jika lemah maka lemahlah peribadinya.
Begitu juga kekuatan sesuatu bangsa itu untuk bangkit dan ke depan daripada bangsa-bangsa lain di dunia ini apabila majoriti individu-individu daripada bangsa tersebut memiliki kekuatan akhlak ini. Itulah apa yang dikatakan oleh Abul A’la al-Maududi sebagai Akhlaq Asasiyyah… Tidak kira sama ada bangsa itu beriman atau tidak.. atau untuk tujuan baik atau atau sebaliknya, mereka akan berjaya dan akan ke depan daripada bangsa-bangsa lain jika mereka memiliki ketinggian akhlaq tersebut. Sebaliknya jika umat Islam sendiri tidak mempunyai akhlaq tadi mereka tetap akan tinggal di belakang dan tetap akan ditinggalkan oleh umat lain yang memiliki akhlaq tadi. Ini kerana Allah telah menjadikan alam ini bergerak mengikut satu sunnah yang dinamakan Sunnah Sebab Dan Musabbab… dan Allah tidak pernah mengubah sunnahNya.
“Dan kamu tidak akan dapati bagi sunnah Allah itu sebarang perubahan”  (al-Fath: 23).
Islam datang hanya menyempurnakan ketinggian akhlak tersebut dari segi meletakkan asas yang bertunjangkan aqidah beriman kepada Allah dan Hari Akhirat serta mengajar manusia bagaimana cara perlaksanaan yang betul kepada nilai  akhlaq tersebut. Semuanya terkumpul di dalam Iman, Islam, Taqwa dan Ihsan yang pada teorinya keempat-empat perkara tadi boleh disusun tertibkan antara satu sama lain tetapi pada hakikatnya ia terjelma dalam bentuk satu adunan di alam praktikal dalam peribadi seseorang.
Jika sekiranya umat Islam menghiasi diri mereka dengan ketinggian akhlaq tadi serta diasaskan di atas asas Iman, Islam, Taqwa dan Ihsan, sudah tentu mereka akan  mendahului umat lain di dunia ini kerana akhlaq mereka pasti lebih kuat dengan asas-asas tadi jika dibandingkan dengan umat lain dan perlaksanaan akhlaq mereka untuk mendapat balasan akhirat yang akan menggamit pertolongan Allah dan keberkatan daripadaNya.
Antara hikmah besar kenapa Junjungan Besar Nabi Muhammad s.a.w dipilih di kalangan Quraisy adalah kerana ketinggian akhlaq bangsa Quraisy yang sedia ada sebagai tapak berdirinya tamaddun Islam, sedangkan ketika itu telah ada tamaddun Greek, Cina, Room dan Parsi yang sedang menuju keruntuhan bermula dengan keruntuhan akhlaq mereka.
Contohnya sifat iffah (suci diri) yang dimiliki oleh orang Arab Quraisy menyebabkan  mereka sanggup membunuh anak perempuan mereka semasa kecil kerana bimbang anak itu akan membesar dan membawa malu kepada keluarga apabila terlibat dengan perzinaan. Begitu juga dengan sifat berani yang ada pada mereka menyebabkan mereka sanggup berperang hanya dengan sebab yang remeh. Rasulullah s.a.w datang dengan risalah yang mengekalkan akhlaq (jati diri) yang ada dan menyempurnakanya dengan asas dan perlaksanaanya yang betul. Sabda Rasulullah:
“Hanyasanya aku diutus adalah untuk menyempurnakan ketinggian akhlaq…”
Mana-mana pejuang lebih-lebih lagi pejuang Islam yang ikhlas ingin memartabatkan ketinggian umat dan bangsanya  tidak dapat tidak mesti menumpukan perhatiannya dalam membentuk akhlaq (jati diri) individu umat bangsanya dengan akhlaq yang mulia serta mengikis segala akhlaq dan  perangai buruk yang menjadi sifat serta amalan bangsanya.
Oleh itu bagi saya mana-mana parti tak kira parti Islam atau yang berasaskan bangsa atau mana-mana kelompok dan kumpulan dakwah yang hanya gerak kerjanya berkisar di sekitar menangani isu atau masalah semasa dan tidak menumpukan dari segi pembentukan akhlaq dan jati diri  ahli serta pengikutnya (dalam ertikata yang sebenar) yang akan mengesani masyarakat bangsanya, sebenarnya  akan berkisar di tempat yang sama tidak akan membawa apa-apa perubahan sebenar dan apa-apa kemajuan hakiki untuk meninggikan kedudukan umat bangsanya. Lebih-lebih lagi jika di dalam gerak kerja dan amalan hariannya sama ada di dalam menangani isu dalaman atau luaran atau di dalam mempromosikan wadah dan dakwah, atau dalam memenangi pandangan umum dalam isu-isu tertentu menggunakan cara-cara yang bertentangan dengan nilai akhlaq (tidak bermoral) seperti menipu (Tadlis), manipulasi orang lain, Tanakur (penyamaran), memburukkan yang lain untuk menaikkan diri dan sebagainya, sebenarnya secara tidak sedar apa yang mereka lakukan itu lebih banyak meruntuh daripada membangun. Ini kerana pembentukan akhlaq dan jati diri tidak hanya lahir daripada teori yang berjela tetapi amalan harianlah yang banyak mengesani  perilaku yang akan membentuk akhlaq dan perangai.
Menipu atau tadlis iaitu menggunakan satu cara yang tidak sebenar (mungkin perlu penerangan dalam ruangan lain) untuk memenangi hujjah adalah bertentangan dengan sifat benar. Tanakur atau penyamaran akan membawa kepada sifat penakut yang bertentangan sifat berani. Manipulasi membawa kepada berbuat zalim yang bertentangan dengan sifat adil, memburukkan yang lain untuk menaikkan diri bertentangan dengan sifat iffah (suci diri) dan membawa kepada zalim yang bertentangan dengan sifat adil. Kesemua tingkah laku ini akan membentuk perangai buruk yang pada hakikat jangka panjangnya akan membawa kepada keruntuhan walaupun ia mencapai kemenangan dan kejayaan yang sementara.
Rasulullah s.a.w dihantar membesar di kampung pendalaman antara hikmahnya adalah untuk mendapat kemurnian akhlak dalam pembentukan peribadinya (selain daripada kemurnian bahasa), kerana masyarakat bandar (Mekah) masyarakat kosmopolitan semasa itu telah tercalar sedikit sebanyak nilai akhlaqnya. Oleh kerana itulah Syariat Islam di awal penurunannya (peringkat Makki) berkisar di sekitar penanaman aqidah dan pembentukkan akhlaq sebelum penyempurnaan dalam hukum-hakam amalan zahir di peringkat Madani sebagai asas kepada pembentukan sebuah tamaddun.

Ustaz Rushdan bin Abdul Halim,
YDP ISMA Kuantan
Blog: Dariku Untukmu

No comments: